Sunday, September 14, 2008





ASAL USUL NAMA

Pendapat Pertama:

Nama Bangi dikatakan diambil dari nama tumbuhan ‘serai wangi’ yang dikatakan dahulunya banyak tumbuh liar disekitar tebing sungai Bangi. Namun perubahan sebutan daripada ‘wangi’ kepada ‘bangi’ boleh dipersoalkan kerana tiada sebab penduduk asal disini yang kebanyakan berketurunan Melayu Dagang jadi pelat menyebut ‘wangi’ menjadi ‘bangi’…malah perkataan ‘wangi’ itu sendiri lebih mudah, indah untuk disebut dan jelas pula maksudnya. Walau bagaimanapun pendapat ini kekal sebagai pendapat paling popular dalam mentakrifkan asal usul nama Bangi.

Pendapat Kedua:

Dikatakan diambil daripada nama ‘Tok Bangi’ iaitu nama Tok Batin (orang asli Temuan) yang telah lebih awal mendiami penempatan di Bangi sebelum suku Melayu Dagang berhijrah ke Bangi. Dikatakan pernah wujud penempatan orang asli di hilir sungai Bangi dan terdapat perkampungan orang asli yang direkod di peta lama (Zaman British)  di Pejabat Tanah Daerah Hulu Langat.

Penduduk Melayu di Bangi yang pada asalnya menetap di Batu 24  Jln Bangi - Dengkil terpaksa berpindah mencari penempatan baru di Bangi akibat penempatan mereka diserang gajah liar pada sekitar tahun 1896. Dikatakan mereka telah memohon pada Tok Bangi untuk tinggal & membuka tanah di Bangi.

Pendapat Ketiga:

Dikatakan diambil daripada perkataan ‘babangai’ iaitu bermaksud bau hanyir daripada ikan-ikan kering yang dijemur di tebing sungai dan sawah –sawah .Memang terdapat sawah - sawah kecil di sekitar Bangi pada masa tersebut.  Pendapat ini juga agak naïf kerana tiada perkataan ‘bangai’merujuk kepada bau dalam bahasa Melayu atau pun dalam perkataan suku Minang atau Mendailing. Dalam bahasa Banjar pula ‘babangai’ itu merupakan satu jenis tarian.Perkataan bau busuk ikan kering adalah ‘busuk bangor’ yang digunakan oleh orang Melayu Pantai Timur.

Kaum Ibu semasa majlis Maulid Nabi Sekitar tahun 50an

Pendapat Keempat:

Dikatakan diambil daripada perkataan ‘bangai’ yang bermaksud terbuang atau yang disingkirkan,perkara ini pernah dicerita oleh Allahyarhamah Hjh Yang bt Hj Jamil (1928-2008) iaitu anak Kepada Daeng Jamil yang merupakan cucu kepada Daeng abdul Ghani iaitu anak kepada Sultan Abdul Samad.Dikatakan dalam masa-masa berlakunya pertelingkahan di Istana Klang, sebahagian dari warga istana telah dihalau oleh pihak Istana keluar. (Daeng Jamil lari ke Johor kerana menyaksikan masalah - masalah ini kemudian menetap di Tanjung Selabu Muar). Mereka yg dihalau dari Istana telah ditempatkan ke sebelah tenggara Selangor di Daerah Hulu Langat. Tempat itu lalu dikenali sebagai tempat orang-orang istana yang terbangai atau terbuang/tersingkir, British pula kemudian mengeja dalam huruf ruminya mengeja "B-A-N-G-I". iaitu terjemahan daripada huruf –huruf jawi 'ba, alif, nga, ya.'dibaca sebagai ‘Bangi’. Merujuk kepada kamus Indonesia mendapati perkataan ‘bangai’ bermaksud tertinggal/tersingkir/terbiar.


Seperti kebanyakan asal usul nama di tempat-tempat lain, tiada perkataan yang benar-benar tepat kepada maksud ‘Bangi’ ini, yang lebih penting nama Bangi ini telah dikenali di seluruh negara walaupun tempat asalnya bemula agak terpencil kemudian mencetus pembukaan Bandar Baru Bangi dan pembangunan kawasan sekitarnya.

TARIKH DIBUKA

Bangi kemungkinan dibuka sekitar penghujung abad ke-19 iaitu diantara 1870 – 1880an, tarikh ini boleh di yakini kerana semasa ini juga kawasan-kawasan sekitar Bangi mula diterokai seperti Sg.Kembung, Rinching, Teras Jernang,Sg. Buah, Dengkil juga dibuka sekitar akhir abad ke 19. Dalam catatan usahawan Kuala Lumpur terkemuka Hj.Abdullah Hukum dalam akhbar Warta Ahad pada 1935, beliau pernah berkubu di Kuala Sungai Bangi pada sekitar 1870an semasa beliau menjadi juak - juak kepada Raja Mahmud ( anak kepada Sultan Selangor). Kedatangan penghijrah dari tanah seberang (Sumatera) daripada suku Minang, Mendailing, Rambah, Jambi, Bengkulu, Palembang, Kerinci, Bugis, Jawa, Rawa dan sebagainya melalui Kuala Linggi, Jugra dan Kelang telah membuka banyak penempatan awal pekan-pekan dan kampung-kampung bukan sahaja di Daerah Hulu Langat tetapi di juga di seluruh negeri Selangor.

* Nama Bangi paling awal  dijumpai pernah tercatat adalah dalam Selangor Journal pada 1896.

* Bangi tercatat dalam peta dalam naskah British Malaya yang diterbitkan pada 1905 oleh Frank Swethanham.


SIAPA YANG MEMBUKA BANGI?

Terdapat cerita yang mengatakan terdapat Tiga kubur Tua di Kawasan Taman Bangi Ria yang telah wujud sejak awal lagi dikatakan adalah milik peneroka awal Bangi. Antara keturunan terawal yang menetap di Bangi adalah moyang kepada Cikgu Yaakob Bin Hj.Yusof yang bernama Bilal Patah .

Penduduk Bangi di depan balai Raya -sekitar awal 60an

KETUA KAMPUNG BANGI TERAWAL.

Saidon Malim Mekah @ Megat adalah merupakan Ketua Kampung Bangi pertama yang dilantik oleh Residen Selangor & diperkenankan oleh Sultan Selangor pada tahun 1918 seperti tercatat dalam surat watikah perlantikannya.


PENEMPATAN AWAL

Dikatakan terletak di Kuala Sg.Buluh iaitu tempat pertemuan hilir sungai Bangi dengan sungai Semenyih. Di sini perahu-perahu dan tongkang hilir mudik dari selatan (Linggi dan Rembau ) dan dari utara (Jugra dan Kelang). Terdapat tiga kubur tua di kawasan ini yang tidak diketahui siapa pemiliknya di kawasan sekarang (Taman Bangi Ria), dikatakan adalah peneroka terawal di Bangi.


LOKASI – LOKASI PENTING DI BANGI

Pekan Bangi



Pekan ini dibuka pada abad ke-20, kemungkinan pada sekitar tahun 1902 - 1905 . Pekan asal ini terletak bertentangan dengan stesen keretapi Bangi (sebelah dewan MCA Bangi mengunjur sampai ke sekolah lama Cina) , terdapat 18 buah kedai-kedai orang Melayu, India & Cina seperti kedai runcit, kedai songkok dan capal, kedai kopi, kedai candu, kedai timah, kedai getah dan sebagainya. Pekan ini mula berkembang serentak dengan pembukaan estet - estet getah & pembinaan stesen keretapi Bangi. Pekan asal ini kemudiannya telah terbakar pada tahun 1924 dan dibangunkan semula oleh Kerajaan Inggeris dan kontraktor Cina pada tahun 1926. Setelah itu peniaga-keturunan cina mula menguasai perniagaan di pekan ini. Medan Mara Bangi pula dibangunkan pada sekitar 70an bertujuan membantu peniaga Bumiputera berniaga.

Kampung Bangi
Sungai Bangi

Kampung Bangi adalah kampung terawal di Bangi tetapi kampung ini agak sunyi , di awal 90an barulah kampung ini dipenuhi dengan lebih banyak  setelah penduduk Kg.Masjid Bangi terpaksa membina rumah baru di sini akibat projek pelebaran Rel berkembar dan juga penduduk asal Kampung Bangi yang telah berhijrah kembali pulang setelah pencen dan membina rumah di tanah-tanah pusaka mereka.


Kampung Masjid Bangi

Kampung ini terletak disepanjang jalan dari Pekan menghala ke Batu 6, di mana juga terletaknya Masjid Bangi. Dalam rekod pejabat Tanah Daerah Ulu Langat pada 1913 terdapat 30 rumah penduduk di kawasan ini semasa itu. Pada sekitar 80 - 90 an terdapat hanya lebih kurang 25 buah rumah sahaja disini walau bagaimanapun sejak awal 90an projek Rel Berkembar mengambil semula tanah hak milik KTM, penduduk asal terpaksa membina kembali rumah baru dan berpindah ke Kg.Bangi, Kg.Bahagia dan Bt.6.

Perarakan Maulid Nabi di Pekan Bangi


Kampung Aman

Kampung Baru Cina ini terletak betul-betul belakang Pekan Bangi yang dahulunya kebun Kelapa milik seorang cina bernama Law Lin, tempat ini dahulu lebih dikenali sebagai 'Bangi Village' ia wujud apabila Inggeris mengadakan kawasan Kg.Baru semasa Darurat dalam tahun 50an. Penduduk Cina disini berasal daripada kawasan bersebelahan Estet Bangi dan sebahagian lagi berasal dari Kacau, Broga dan Mantin.Pada tahun 90an berlaku kebakaran di sebahagian rumah panjang ini dan kebanyakan mereka membina kembali rumah mereka di kawasan bukit belakang Kedai Mara,tanah yang telah mereka beli daripada Broome Estate dalam tahun 70an.
Kanak -Kanak  Bangi -sekitar 1948


Kampung Manikam

Kampung masyakat India ini adalah kuaters Estet Bangi yang bercampur dengan rumah setinggan.Kampung ini juga hampir hilang apabila arahan pihak berkuasa supaya mengosongkan tanah tersebut untuk dibangunkan semula.Nama Kampung ini dikatakan diambil dari nama seorang India bernama ’manikam’ yang kisah cinta nya menjadi kisah lagenda di kampung ini.


Kampung Bahagia


Kampung dibuka pada tahun 1960 diatas kawasan hutan simpan yang telah dimohon persatuan penduduk Melayu sekitar Bangi dalam era pentadbiran Menteri Besar Y.A.B Dato' Abu Bakar Baginda.

Batu 6

Kawasan perumahan PKNS ini dibuka pada awal 80an (kaw.perumahan ini merupakan sebahagian projek besar kerajaan semasa itu untuk mengurangkan kampung -kampung setinggan seluruh negara), kebanyakan penduduknya berkerja di UKM dan MINT (PUSPATI).Penduduk disini bercampur antara penduduk sekitar Bangi dan orang merantau.


Masjid Bangi



Tapak lot tanah Masjid Bangi mula dimohon oleh penduduk Bangi pada tahun 1919 iaitu setahun setelah Bangi mendapat Ketua Kampung yang rasmi dan telah mendapat kelulusan dan digazetkan pada tahun 1928  dengan tujuan untuk pembinaan sebuah surau. Tanah seluas 1 acre 7 perches ini terletak berdekatan Balai Polis Bangi yang telah awal dibina pada 1914. Masjid ini dikatakan dibina pada tahun 1941 dengan binaan kayu kemudian dibangunkan kembali pada tahun awal 70an dengan reka bentuk rasmi masjid-masjid kerajaan semasa itu. Walaupun Kg.Masjid Bangi penduduk asalnya telah berpindah, namun Masjid Bangi tetap menjadi tumpuan masyarakat dan semakin ramai jemaah


Sekolah Kebangsaan Bangi



Sekolah ini merupakan sekolah kedua tertua di Daerah Hulu Langat selepas sekolah High School Kajang. Di buka sejak 13.9.1924 sebagai Sekolah Melayu Bangi .Pada tahun 1935 pula bangunan sekolah tetap telah dibina diperbesarkan dan kemudian di bangunkan semula bangunan baru pada tahun 1983. Pada 1985 sekolah ini telah menyambut Jubli Perak sempena ulang tahunnya yang ke-50 tahun yang telah dirasmikan oleh Sultan Selangor.




Stesen Keretapi Bangi

Stesen Keretapi Bangi dibina pada tahun sekitar 1902 -1905 . Stesen ini dibina untuk memudahkan pengangkutan hasil getah dan bijih timah di kawasan ini. Stesen Baru pula dibina pada 1994 terletak 100 meter dari stesen lama. Kesan stesen lama boleh lagi dilihat sehingga kini yang terletak bersebelahan restoran Cina jalan menghala ke Sekolah Bangi. Laluan rel kereta Kajang - Bangi mula dibina pada 14 jun 1902 dan laluan Bangi - Batang Benar pula mula dibina pada 1 Feb 1903.



Bandar Baru Bangi

Pembukaan bandar ini serentak dilancarkan dengan perbandaran Petaling Jaya dan Shah Alam Oleh Tun Abdul Razak pada tahun 1974, seiring dengan Dasar Ekonomi Baru,untuk mewujudkan, membangun dan menyusun semula kaum Melayu di bandar. Ia mula di bangunkan pada pada 1974 seiring dengan pembukaan UKM dan pembukaan Kilang-kilang pada awal 80an.Kawasan B.B.Bangi juga merupakan bekas kawasan Ladang Getah Kajang (west country) yang juga merupakan estet getah pertama dibuka di negeri Selangor pada 1905 .Semenjak bandar baru ini dibuka Bangi yang asal telah digelar ’Bangi Lama’ untuk membezakan kedua-kedua tempat ini.





* Fakta & data dalam blog ini bukanlah muktamad, ia akan diperbaharui bila penulis mendapat maklumat baru yang lebih sahih & tepat. Catatan dalam blog ini juga memang dibuat secara ringkas untuk tujuan rujukan pelajar sekolah dalam subjek Kajian Tempatan. Insyallah versi yang lebih lengkap sedang diusahakan dalam bentuk buku dengan judul
' RIWAYAT BANGI '.